Samsuri nafi Pas mahu tinggalkan Bersatu - Utusan Malaysia

Samsuri nafi Pas mahu tinggalkan Bersatu

AHMAD Samsuri Mokhtar menyiram anak pokok spesies beruas yang ditanam selepas majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menafikan desas-desus kononnya Pas akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah beberapa pemimpin parti itu mula dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan kes rasuah.

Ahmad Samsuri menegaskan perkara tersebut adalah berita palsu semata-mata dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut).

“Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok. Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni.

“Hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa, malah malam tadi baru sahaja saya  bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, Pas menganggap desas-desus itu sebagai provokasi sahaja memandangkan tidak lama lagi akan berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pas masih setia dengan Bersatu, tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti).

“Perbincangan malam tadi juga menjurus kepada beberapa perkara untuk kita siapkan asas-asas perundingan kerusi PRN dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya