Sabah tidak pernah iktiraf tuntutan waris Sulu

Sabah tidak pernah iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu

HAJIJI Noor (dua kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Masjid Jamek Putatan kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu terhadap negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah yang lebih serius dan konkrit bagi menyelesaikan isu tuntutan terhadap Sabah.

“Kita yakin (Persekutuan) mampu menyelesaikannya kerana kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan Sultan Sulu.

“Ini satu tuntutan yang kita rasa semua rakyat di Sabah tidak akui atau iktiraf. Ini hanya direka oleh orang-orang yang menganggap diri mereka berketurunan Sultan Sulu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 400 orang golongan asnaf dan ibu tunggal di Masjid Jamek Putatan kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah yang masih lagi dibangkitkan sehingga kini.

Isu tuntutan terhadap Sabah oleh kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu telah mencetuskan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Mac 2013 hingga mengorbankan lapan nyawa anggota keselamatan serta 65 pengganas ditembak mati.

Hajiji berkata, Sabah memutuskan membentuk Malaysia bersama-sama Tanah Melayu dan Sarawak hingga termeterai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Justeru, beliau yakin Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menangani isu ini dengan sebaiknya bagi memastikan kedaulatan negara terus terbela.

Mengulas lanjut katanya, institusi negara Malaysia akan terus diperkuatkan menerusi penyelesaian tuntutan hak terhadap Sabah dan Sarawak seperti yang telah dipersetujui oleh perjuang-perjuang kemerdekaan terdahulu.

Hajiji percaya perkara berkaitan tuntutan hak-hak Sabah dan Sarawak akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Perdana Menteri.

Sebelum ini, kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu dilaporkan telah memfailkan tindakan undang-undang melalui Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan tanah di Sabah.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya