KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Sewaan Kediaman yang akan mengawal selia hubungan pemilik kediaman dan penyewa akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun hadapan.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, RUU yang dilihat mampu mengimbangi hak kedua-dua pihak itu akan mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian antara pihak terbabit dalam urus niaga sewaan kediaman.
“Antara perkara terkandung dalam RUU yang sedang dirangka adalah berkaitan perjanjian sewaan kediaman, tanggungjawab penyewa dan pemilik kediaman serta tindakan penguatkuasaan.
“Selain itu, RUU ini turut menyediakan prosedur tindakan serta mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam urusan sewaan kediaman,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta kementerian menyatakan adakah perlu satu undang-undang digubal bagi melindungi pemilik hartanah daripada penyewa yang tidak membayar sewa. – UTUSAN