ARAU: Selepas hampir 30 tahun Datuk Seri Shahidan Kassim mendominasi UMNO Arau, pemilihan parti itu kali ini menyaksikan bahagian tersebut mempunyai ketua baharu selepas Datuk Rozabil Abd. Rahman menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.
Perkembangan tersebut menyaksikan UMNO bahagian berkenaan bakal berwajah baharu dengan barisan kepemimpinan yang lebih segar termasuk di peringkat sayap-sayap parti.
Rozabil berkata, barisan kepemimpinan baharu ini bakal membawa perubahan besar bukan sahaja di bahagian malah di peringkat negeri untuk parti kembali bangkit selepas ini.
Katanya, beliau percaya kebangkitan UMNO Perlis akan bermula selepas kalah semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ujarnya, persidangan UMNO Bahagian Arau juga menarik kehadiran yang cukup ramai malah ramai pemimpin terdahulu yang kembali semula untuk membantu kebangkitan parti dengan barisan kepemimpinan baharu.
“Terima kasih kepada perwakilan memberi mandat kepada saya dalam mengetuai UMNO Bahagian Arau ini. Secara amnya, kita akan dapat melihat wajah-wajah baharu dalam kepemimpinan.
“Wajah-wajah baharu itu bukan sahaja di Bahagian Arau malah di Kangar dan juga Padang Besar. Kebangkitan UMNO akan bermula kembali dan kita sebenarnya masih ada sinar di hujung terowong,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.
Selain Rozabil yang menang tanpa bertanding, jawatan-jawatan ketua sayap parti seperti Pemuda, Wanita dan Puteri sebelum ini juga menyaksikan tidak ada pertandingan.
Pemuda UMNO Arau diketuai Abdul Azim Abdullah, Puteri pula dipimpin oleh Aida Syafinaz Isa manakala Rozieana Ahmad mengetuai pergerakan Wanita UMNO Arau.
Tambah Rozabil, beliau akan berusaha membawa membawa perubahan besar melalui pendekatan dan program-program yang bakal diatur serta dilaksanakan.
“Insya-Allah kita akan buat perubahan besar. Tidak mungkin saya akan lakukan seperti kepemimpinan terdahulu. Saya ada cara tersendiri,” katanya.-UTUSAN