PETALING JAYA: Penipuan cinta atau love scam antara penipuan tertinggi di negara ini yang mencatatkan kerugian RM365 juta dengan sebanyak 7,286 kes direkodkan sejak 2018 sehingga Februari lalu.
Pemangku Timbalan Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad berkata, kajian yang dilakukan pihaknya turut mendapati daripada 7,286 kes yang direkodkan, 82.5 peratus atau 6,008 mangsa adalah wanita.
“Pada tahun ini sahaja sebanyak 159 kes direkodkan dengan 132 daripadanya mangsa wanita,” katanya selepas melancarkan filem kesedaran Anti-Scam: Oppa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Usuf berkata, pelbagai usaha dilakukan PDRM bagi memastikan aktiviti pencegahan ini sampai kepada masyarakat termasuk bekerjasama dengan syarikat penerbit filem dan menghasilkan filem anti-scam.
Katanya, menerusi filem itu diharap bakal memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan ancaman jenayah komersil terutama love scam.
“Pembikinan filem ‘Oppa’ adalah berlandaskan objektif bagi menyebarkan pengetahuan tentang modus operandi sindiket penipuan dalam talian dengan lebih berkesan kepada umum selain meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dan membangkitkan semangat ‘antiscam’ dalam masyarakat,” katanya.
Menurutnya, selain pembikinan filem, pelbagai usaha dan aktiviti turut dilakukan bagi membanteras penularan kes-kes penipuan sebegini.
“JSJK melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah komersil melalui Kempen Anti-Scam PDRM. Program pencegahan ini dilakukan secara berterusan kerana jabatan ini yakin, melalui ilmu pengetahuan yang mencukupi.
“Antara melaksanakan program sembang santai yang fokus kepada kumpulan-kumpulan kecil, wawancara televisyen dan radio, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat, universiti dan seumpamanya, program meet and greet di tempat tumpuan masyarakat dan paparan mesej antiscam di papan-papan iklan utama seluruh Malaysia,” katanya.- UTUSAN