RM192 juta naik taraf Pelabuhan LKIM Chendering - Utusan Malaysia

RM192 juta naik taraf Pelabuhan LKIM Chendering

KEADAAN Pelabuhan LKIM Chendering yang cetek sehingga menyukarkan nelayan bot laut dalam mendaratkan hasil tangkapan. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM192 juta
untuk menaik taraf Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering, dekat sini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja mendalamkan muara di pelabuhan itu bagi meningkatkan kembali kemasukan bot nelayan laut dalam.

“Pelabuhan LKIM Chendering akan dikorek (pasir) dan dikembalikan peranannya seperti dahulu.

“Insya-Allah pelabuhan itu akan kembali aktif dan menjadi pilihan pendaratan ikan oleh bot-bot lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau bot nelayan laut dalam pertama negara diperbuat daripada besi dibangunkan Amir Vision Sdn. Bhd. di Pulau Duyung di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 5 Ogos 2022 melaporkan kebanyakan nelayan laut dalam di perairan negeri ini terpaksa mendaratkan tangkapan mereka di pelabuhan perikanan Tok Bali, Kelantan serta Kuantan, Pahang ekoran kesukaran mendaratkan ikan di negeri sendiri disebabkan muara sungai dan pelabuhan perikanan yang cetek.

Keadaan tersebut menyebabkan harga ikan di negeri ini lebih mahal berbanding negeri-negeri lain.

Mohamad berkata, dua benteng pemecah ombak yang terdapat di muara pelabuhan berkenaan juga akan dipanjangkan.

Tambah beliau, kerja-kerja awal menaik taraf Pelabuhan LKIM Chendering berkenaan bakal bermula pada bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi membiayai Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan menerusi program Dana Jaminan Makanan.

Menurutnya, program ini telah dibuka kepada nelayan yang menangkap hasil laut di Zon A, Zon B, Zon C dan Zon C2.

Katanya, kadar faedah yang ditetapkan adalah sebanyak 3.0 peratus bagi nelayan Zon A dan Zon B manakala 3.5 peratus bagi nelayan nelayan di Zon C dan C2.

“Kerajaan menyasarkan sebanyak 315 buah vesel yang akan menerima manfaat iaitu 28 buah vesel bagi Program Pemodenan Vesel dan 287 buah vesel bagi Program Mekanisasi Tangkapan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya