KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitipkan ucapan takziah kepada semua mangsa ribut yang terlibat di sekitar Perlis, semalam.
Baginda bertitah agar kesemua mangsa dapat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan dokumen dan barang berharga dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa yang terlibat dinasihatkan agar dapat menyalurkan maklumat mengenai keadaan yang dihadapi kepada para pemimpin masyarakat supaya dapat mempercepatkan lagi penyaluran bantuan oleh agensi berkaitan,” titah baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.
Setakat semalam, sebanyak 139 buah rumah telah dilaporkan terlibat dalam kejadian ribut yang melanda negeri ini.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin, berdasarkan penyelarasan yang telah dilaksanakan antara pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, tindakan lawatan bagi mengenalpasti segala keperluan bantuan dan kaedah penyaluran sumbangan telah digerakkan bermula semalam.
“Pihak MAIPs juga berharap agar semua pihak menerima musibah ini dengan penuh sabar dan berdoa semoga ujian ini akan segera selesai dan digantikan dengan segala kebaikan,” titah baginda.-UTUSAN