SETIU: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera patah tangan kanan setelah terkena tayar treler yang terpelanting ke arah mereka dalam kejadian di Kampung Merang di sini, petang tadi.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.05 petang ketika mangsa, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, dan rakannya berusia 22 tahun sedang berniaga di kaki lima jalan di kampung itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin, sebiji tayar belakang sebuah treler yang melalui lokasi tersebut tiba-tiba tercabut sebelum terpelanting dan terkena kedua-dua mangsa.
“Siasatan awal mendapati treler terbabit bergerak dari arah Kampung Merang menuju ke Kampung Telaga Papan.
“Sebaik tiba di Kilometer 43 dekat Kampung Merang itu tayar treler itu tercabut dan terpelanting terkena mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Beliau memberitahu, Muhamad Airiel Rizman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya itu pula mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka di muka.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala rakannya juga menerima rawatan di hospital sama.
“Pemandu treler yang berumur 37 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN