SHAH ALAM: Seorang remaja yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku bersalah terhadap kesalahan merogol teman wanitanya yang di bawah umur pada 2021.
Tertuduh yang juga di bawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang kini berusia 19 tahun dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan sehingga melahirkan anak dalam sebuah rumah pekerja milik syarikat tempatnya bekerja di Batu 14, Puchong, pada pukul 10 malam sekitar Disember 2021.
Justeru, remaja terbabit dituduh di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.
Bagaimanapun, berdasarkan fakta kes, mangsa dikatakan tinggal bersama tertuduh sejak sekitar Oktober 2021 selepas bertengkar dengan ibu dekat kediamannnya yang juga terletak di Puchong.
Pada hari kejadian, sekitar pukul 5 petang, mangsa didakwa menghubungi tertuduh sebelum mengikutinya lari dari rumah untuk tinggal bersama anak bongsu daripada lima beradik itu dekat pangsapuri tersebut.
Namun pada 24 Oktober 2021, bapa mangsa bertindak membuat laporan polis sebelum pasukan penguatkuasa itu mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan tinggal bersama tertuduh selama tiga bulan sehingga Disember.
Dalam tempoh tersebut, Orang Kena Tuduh (OKT) itu dikatakan melakukan kesalahan tersebut beberapa kali sehingga pada Mei 2022 mangsa memberitahunya dia hamil lima bulan disebabkan hubungan berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke rumah keluarga tertuduh di Saujana Puchong, namun dijaga dengan baik oleh remaja lelaki itu serta ibunya serta mendapat rawatan sepanjang kehamilan.
Kemudian, pada 16 September 2022, pada kira-kira pukul 11 malam, mangsa melahirkan seorang anak-anak lelaki dekat Hospital Selayang sebelum salah seorang pegawai perubatan yang merawatnya membuat laporan polis berkenaan pesakit kanak-kanak yang bersalin.
Lantaran itu, polis membuat tangkapan terhadap pesalah muda terbabit pada 19 September dan bayi lelaki berkenaan disahkan sebagai anak kandungnya berdasarkan laporan oleh Jabatan Kimia pada 7 November.
Rasyihah kemudian menetapkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun berserta cagaran RM5,000 daripada seorang penjamin di bawah Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Tertuduh juga akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tempoh tersebut sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman tersebut diputuskan selepas hakim mendengar kenyataan laporan sosial daripada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Nursyuhada Ahmad Sayuti serta rayuan daripada tertuduh yang meminta mengurangkan hukuman selepas kesal dan menginsafi kesalahannya itu.
“Penama (tertuduh) berhenti sekolah semasa tingkatan tiga kerana tidak minat untuk meneruskan persekolahan lagi. Selain itu, tidak pernah terlibat dalam pengambilan dadah dan alkohol.
“Keluarga mangsa tidak mahu menerima remaja lelaki itu walaupun bersedia bertanggungjawab. Remaja lelaki tersebut juga memberikan wang bulanan secara rahsia untuk keperluan bayinya,” kata Nursyuhada.
Rasyihah kemudian turut memerintahkan tertuduh ditahan di Sekolah Henry Gurney (SHG) hingga berusia 21 tahun sekiranya gagal melaksanakan cagarannya sehingga pukul 4 petang ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya menegaskan supaya hukuman berat dijatuhkan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dah masyarakat. – UTUSAN