KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri turut akan diberikan kepada lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada bantuan tersebut, setiap anggota akan menerima bantuan tunai sebanyak RM300.
“Selepas diteliti, ada kategori yang tidak dapat manfaat yang sama membabitkan mereka dalam kalangan bukan pekerja tetap iaitu sukarelawan sama ada RELA, APM, sukarelawan polis dan sukarelawan bomba.
“Mereka ini juga menghadapi masalah maka saya bersetuju untuk berikan saguhati sebanyak RM300 bagi setiap sukarelawan. Bagaimanapun, saguhati ini tidak termasuk Polis Bantuan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri itu turut mengesahkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 akan disalurkan pada 5 April ini.
Malah, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) turut ditingkatkan dana jaminan pembiayaannya daripada RM3 bilion kepada RM5 billion.
Ini bagi membantu pembeli rumah kali pertama terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Mulai 1 April 2023, Kerajaan Malaysia akan meluaskan sasaran SJKP bagi merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Ikhtiar ini akan memanfaatkan khususnya isi rumah dalam kategori B40 dan M40,” ujarnya. – UTUSAN