KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh disahkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka baharu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di mana beliau mencadangkannya kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
“Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka.
“Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada pagi tadi hanya sempat memberikan isyarat tangan meminta maaf kepada petugas media yang ‘berkampung’ di pusat pentadbiran kerajaan, Kompleks Seri Negeri Melaka sejak 7.30 pagi tadi.
Beliau yang dilihat keluar menaiki kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna hitam bernombor pendaftaran MCM1 sekadar membuka tingkap sebelum memberikan isyarat tangan meminta maaf sambil berlalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata secara ringkas, perletakan jawatan Sulaiman itu adalah kerana masalah kesihatan. – UTUSAN