KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ia diluluskan setelah dibahas ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengenai RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 yang memperinci kesalahan menghendap dan jenis hukuman yang boleh dikenakan serta RUU Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 berhubung peruntukan perlindungan kepada mangsa.
Kedua-dua RUU itu dibentangkan bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh.
“Rasional untuk meminda Kanun Keseksaan adalah bagi menjadikan perlakuan menghendap sebagai satu kesalahan kerana boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang serta mencapai tahap yang mana mangsa boleh dicederakan sehingga ada yang menyebabkan kematian,” katanya.
Ramkarpal berkata, pindaan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap, termasuk perbuatan yang dianggap sebagai kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman iaitu penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Malah, perlakuan itu turut memberikan implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa akibat diganggu dan dihendap untuk jangka masa lama.
Ia berdasarkan rekod hasil tinjauan syarikat penyelidikan dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), mendapati perlakuan menghendap di negara ini adalah meluas yang mana 36 peratus individu pernah dihendap dan berasa ketakutan, manakala 12 peratus mendapat ancaman serta 17 peratus mendapat kecederaan.
“Hasil tinjauan juga mendapati perlakuan menghendap memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat dari segi ekonomi, sosial, rekreasi dan hal ehwal penjagaan kanak-kanak.
“Sementara 69 peratus rakyat Malaysia percaya menghendap adalah satu kesalahan. Ketiga, negara-negara luar sudah mengambil inisiatif lebih awal dalam mewujudkan undang-undang berkaitan perlakuan ini,” katanya.
Dalam hal ini, model perundangan Singapura, United Kingdom (UK) dan India dijadikan rujukan bagi mengenal pasti model perundangan yang sesuai sebagai penanda aras.
“Pindaan kepada Akta 574, mengambil kira pandangan setiap lapisan masyarakat dan sesi libat urus, termasuk penyertaan beberapa mangsa hendap,” katanya. – UTUSAN