SHAH ALAM: Tanah sama ada milik persendirian yang disewa kepada pihak tertentu bagi aktiviti pelupusan sampah haram di Selangor bakal dirampas jika pemiliknya mengingkari notis arahan pemulihan.
Tindakan tegas Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) itu selaras dengan ketetapan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Dr. Yusri Zakariah berkata, pihaknya mengakui isu sampah haram itu serius dan berlaku di beberapa daerah termasuk Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat dan mana-mana pemilik yang didapati melanggari peraturan dengan menyewa tanah mereka akan diberikan Notis 7A mengikut akta ditetapkan.
“Mereka akan diberi tempoh tertentu bagi pemulihan dan pembersihan semula tanah berkenaan.
“Kompaun berjumlah RM100 sehari akan dikenakan sepanjang proses itu dan tindakan merampas tanah akan diambil jika pemilik gagal mematuhi notis tersebut,” katanya ditemui selepas program Sesi Town Hall Bersama Penolong Pegawai Tanah Negeri Selangor, hari ini.
Program anjuran bersama Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Negeri Selangor (KPPTNS) itu antaranya memfokuskan isu berkaitan sistem e-Tanah dan pengukuran tanah di semua daerah negeri ini.
Utusan Malaysia pada Disember tahun lalu mendedahkan tindakan pemilik tanah di Kampung Sri Sentosa, Ijok berdekatan tebing Sungai Buloh menjadikan tempat mereka sebagai tapak pelupusan sampah haram.
Lebih menjijikkan, timbunan sampah semakin ‘menggunung’ sepanjang hampir dua kilometer dari persimpangan Jalan Bukit Cerakah dengan keluasannya boleh memuatkan hampir 24 padang bola sepak.
Keadaan itu bukan saja mencacatkan pemandangan malah tapak asal tanah yang berada pada kedudukan rendah terdedah dengan ancaman banjir. Tinjauan mendapati tapak itu dipenuhi sisa binaan selain sampah pukal dan industri seperti perabot, tong besar, botol plastik serta besi berkarat.
Jelas Yusri, pihaknya terlebih dulu akan menyemak status pemilikan tanah persendirian sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Berdasarkan prosedur, kita akan menghantar notis kepada pemilik untuk memulihkan semula tanah itu kepada keadaan asal. Setakat ini, kebanyakkan pemilik tanah mematuhi arahan itu yang biasanya antara 14 hari hingga tiga bulan dan ia bergantung kepada keadaan lokasi berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan serta merta bagaimanapun akan diambil sekiranya melibatkan tanah milik kerajaan negeri. – UTUSAN