PUTRAJAYA: Ketika trend pelangganan terhadap saluran televisyen berbayar semakin merosot, lain pula senario yang berlaku ke atas platform digital percuma myFreeview.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berdasarkan Laporan Tahunan edisi terkini pihaknya menunjukkan tahap kepuasan majoriti responden ternyata amat baik.
“Siaran ini dianggap memiliki kredibiliti tinggi dan sumber maklumat secara pantas boleh dipercayai serta memudahkan akses penyebaran berita lebih luas,” jelas SKMM.
Kaji selidik itu dilaksanakan pasukan dari Universiti Multimedia Malaysia yang dilantik agensi tersebut bagi mengukur tahap penonton terhadap kualiti penyiaran myFreeview melibatkan hampir 1,000 responden secara rawak dari lapan zon berbeza di Sabah selama tempoh dua minggu.
Kebetulan, hasil ilmiah laporan itu diterbitkan pada hari sama satu nota penyelidikan sebuah bank pelaburan tempatan mendedahkan situasi prospek lemah siaran berbayar yang berdepan risiko lonjakan kos besar dan isu penurunan ketara langganan ekoran pembukaan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.
Mengulas lanjut, laporan SKMM itu berkata, majoriti menonton myFreeview bagi tujuan pendidikan, pengetahuan serta maklumat agama, sosial, politik, budaya dan kesihatan.
Kualiti kandungan siaran yang disediakan begitu baik dalam format Definisi Tinggi (HD) juga menjadi faktor ketara kepuasan para penonton terutama program berbentuk hiburan.
Paling menarik, kaji selidik itu mencadangkan agar ramai pembekal perkhidmatan dapat menawarkan lebih banyak pilihan saluran baharu dengan kandungan berjiwa tempatan termasuklah saluran khas pendidikan dan sukan serta format yang boleh memberikan lagi lebih penekanan kepada dialek tempatan seperti stesen TV Sarawak. – UTUSAN