Ramai bakal jemaah umrah terkandas sebab kos melonjak

Ramai bakal jemaah umrah terkandas sebab kos melonjak

SEBAHAGIAN bakal jemaah umrah hadir di pejabat pengurusan umrah bagi menuntut penjelasan akibat pertukaran jadual penerbangan tanpa pemberitahuan awal di Presint 8, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan pengusaha hotel di Mekah dan Madinah yang sengaja menaikkan harga penginapan secara tiba-tiba mengakibatkan ramai bakal jemaah umrah terkandas.

Situasi luar jangka itu menyebabkan ada agensi umrah tempatan terpaksa menjadualkan semula penerbangan kerana tidak mahu pelanggan tiada tempat bermalam di tanah suci.

“Banyak kes ada jemaah sudah sampai di lobi hotel, namun terpaksa naik balik bas kerana pihak hotel berubah fikiran mengenakan caj tiga kali ganda,” kata seorang wakil agensi itu.

Semalam, ibu pejabat pengurusan umrah ternama itu di sini sesak ‘diserbu’ puluhan bakal jemaah tidak berpuas hati apabila baru menerima mesej pertukaran jadual penerbangan.

Mereka kecewa dan marah kerana ini bukan kali pertama, malahan ada mendakwa sudah tiga kali tarikh berlepas dari tanah air diubah oleh agensi berkenaan sejak akhir tahun lalu.

Ada sudah menyewa inap desa dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi kesal apabila dimaklumkan jadual pesawat ditunda tanpa alasan yang kukuh.

Seorang bakal jemaah dari Kuantan, Pahang yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya sepatutnya terbang hari ini menuju ke Jeddah.

Mereka berasa ralat serta mahu agensi itu mengembalikan segala pembayaran dibuat dan bukan berdolak-dalik seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab atas penundaan tarikh.

“Kami sudah keluar duit hampir RM90,000 untuk umrah bersempena musim cuti sekolah tetapi hampa sedangkan majlis doa selamat di kampung sudah dibuat meriah,” jelasnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ramai bakal jemaah berkumpul dalam sebuah bilik taklimat dan suasana agak tegang kerana mereka bimbang dengan janji yang ditawarkan.

Dalam pada itu, wakil agensi tersebut memberi jaminan bahawa kebajikan bakal jemaah tetap menjadi keutamaan syarikatnya dan tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja.

Bahkan ujarnya, agensi berkenaan turut menyerap segala kenaikan kos yang dikenakan pihak di Arab Saudi, padahal ada agensi lain meminta bayaran tambahan lebih RM5,000.

Justeru, tindakan penundaan penerbangan bukan sengaja dilakukan tetapi memastikan tiada kes bakal jemaah dihalau keluar dari hotel apabila tiba di tanah suci pada ketika ini.

Agensi itu turut kesal dengan sikap tamak para pengusaha premis penginapan di sana yang cuba mengambil peluang menaikkan kadar tiba-tiba demi mengaut keuntungan besar.

Senario berkenaan katanya, bukan baharu malah sudah bermula sejurus tamat musim haji 1443 Hijrah pada 30 Julai lepas susulan isu pembukaan balik sempadan banyak negara.

“Isu ini bukan sahaja dialami Malaysia, bahkan seluruh dunia kerana jutaan jemaah pergi ke sana selepas dua tahun dikenakan sekatan ekoran kebimbangan Covid-19,” katanya yang turut mengesahkan pihak pengurusan tertinggi agensi itu akan mengadakan sidang akhbar khas bagi memberi penjelasan isu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya