PETALING JAYA: Sebanyak 73.67 tan metrik sisa buangan bahan makanan bazar Ramadan direkodkan setiap hari di Selangor tahun ini berbanding 50.78 tan metrik pada Ramadan tahun lalu.
KDEB Waste Management dalam satu kenyataan memaklumkan , jumlah sisa buangan bahan makanan dari bazar Ramadan di Selangor itu meningkat sebanyak 45 peratus.
Katanya, peningkatan itu susulan penambahan jumlah petak perniagaan dan peniaga di bazar Ramadan di negeri itu berbanding tahun sebelum ini yang sedikit terhad berikutan impak daripada pandemik Covid-19.
“Peningkatan jumlah petak perniagaan yang ketara dapat dilihat di Majlis Perbandaran Klang sebanyak 1,331 petak yang menyumbang kepada peningkatan sampah sebanyak 16.5 tan metrik sehari,” katanya.
Menurut KDEB Waste Management, syarikat itu hanya bertanggungjawab mengutip sampah di bazar Ramadan di tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Katanya, ia meliputi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL); Majlis Perbandaran Sepang (MPSp); Majlis Perbandaran Klang (MPK); Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Bazar Ramadan di PBT lain seperti di Hulu Selangor, Kuala Selangor, Ampang Jaya, Sabak Bernam dan Petaling Jaya diuruskan sendiri oleh Majlis masing-masing,” katanya. – UTUSAN