Rakyat terlalu lemas, jijik lihat perlakuan rasuah - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Rakyat terlalu lemas, jijik lihat perlakuan rasuah – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di Bukit Chandan di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah dalam kalangan pemimpin.

Titah baginda, rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.

Baginda bertitah, Forum Ekonomi Dunia tahun 2019 menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar yang anak muda hadapi.

Titah baginda, generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah.

“Rakyat mengharapkan akan muncul suria yang melimpahi sinar baharu.  Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya dan skandal-skandal kewangan yang dilapor berlaku telah mencontengkan arang di wajah negara.

“Keaibannya ditanggung dengan harga yang mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar.

“Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi.

“Jangan diulangi kesilapan mereka yang terdahulu, jangan sama sekali dihampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini hari ini.

Baginda bertitah, setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu.

Titah baginda, rakyat yang semakin celik huruf,  mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan.

“Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari.

“Rakyat semakin lantang mendedahkan isu rasuah dan semakin gigih menolak pemimpin yang berimej rasuah.

“Rakyat menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga atau pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan,” titah baginda.

Titah baginda, rakyat mengimpikan sebuah kerajaan yang secara berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah.

Baginda bertitah, rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus  dan pemimpin yang lebih amanah.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya