KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu daripada pelbagai latar belakang merafak sembah menjunjung duli di atas pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Ulang Tahun Hari Pertabalan, hari ini.
Selain menzahirkan ucapan tahniah, rakyat turut mengutuskan doa buat baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah agar pemerintahan baginda berdua sentiasa berjalan lancar, aman dan sejahtera.
Seorang kakitangan awam, Mohd. Muizzuddin Abdullah, 31, berkata, meskipun bertugas jauh di selatan tanah air, dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa di Terengganu dan mengakui kagum dengan kebijaksanaan pemerintahan Sultan Mizan selama ini.
Menurutnya, penglibatan aktif baginda dalam arena sukan terutama sukan lumba kuda lasak perlu dicontohi oleh rakyat jelata dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Kejayaan baginda ketika meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara sukan kuda lasak kategori individu sangat membanggakan rakyat jelata.
“Kejayaan itu mengajar kita erti pengorbanan, usaha berterusan dan semangat berkumpulan pasti akan memberi kecemerlangan dalam apa sahaja bidang yang diceburi.
“Kegemilangan sukan kuda lasak juga berjaya mengangkat nama Terengganu sebagai lokasi kejohanan bertaraf dunia dan menjadikan Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong sangat popular di peringkat antarabangsa,” katanya.
Peniaga restoran, Nor Fatihah Che Mamad, 30, pula berkata, dia mendoakan agar Sultan Mizan sentiasa diberikan rahmah dan afiah untuk terus memerintah dengan adil dan bijaksana demi kebaikan rakyat seluruh negeri.
“Semoga negeri Terengganu ini terus dipayungi keamanan dan kemakmuran sedia ada yang akan kekal di bawah panji pemerintahan baginda.
“Saya juga berharap agar sektor ekonomi negeri ini terus berkembang pesat dan menjadikan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelabur yang secara tidak langsung dapat membantu ekonomi penduduk di negeri Terengganu yang tercinta ini,” katanya.
Usahawan belia, Muhammad Shohimil Hafizz Salleh, 28, pula berkata, keprihatinan baginda serta semua anakanda yang sering menyantuni rakyat jelata terutama ketika dilanda musibah sangat disanjung tinggi.
“Boleh dikatakan kelibat anakanda Sultan Mizan akan kelihatan di beberapa pusat pemindahan Ssementara (PPS) menyampaikan bantuan kepada rakyat yang sedang ditimpa kesusahan.
“Saya juga mengagumi keprihatinan baginda terhadap ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin terutama sepanjang Ramadan dan Aidilfitri kerana banyak bantuan disalurkan untuk golongan tersebut mengukir senyuman,” katanya. – UTUSAN