SHAH ALAM: Pembangkang didakwa menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai sasaran serangan dalam Dewan Rakyat dengan mengungkit kempen-kempen lama PKR sebelum menjadi kerajaan.
Antara yang dibangkitkan adalah isu penurunan harga minyak, kereta dan bayaran balik Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dimainkan mereka sejak 2008 hingga 2012.
Menurut Rafizi, beliau menyifatkan serangan kepadanya dan Presiden PKR itu sebagai paling sengit daripada pembangkang berikutan kedua-duanya memegang portfolio penting dalam kerajaan iaitu Ekonomi dan Kewangan.
“Tetapi itu satu-satunya benda yang mereka boleh main sekarang. Dia akan ungkit perkara-perkara lama, contohnya soal Anwar pada 2008 soal turun naik harga minyak walaupun sebenarnya keadaannya cukup berbeza berbanding sekarang.
“Dia akan beri tuntutan dan mainkan kempen kita dalam 2011 dan 2012. Kalau soal mengurangkan hutang PTPTN atau mengurangkan harga kereta, bukan dia tak tahu Pas yang ketika itu paling ghairah sekali jemput kami daripada PKR untuk berkempen atas pentas Pas sebab orangnya tak boleh hendak terangkan perkara-perkara sedemikian,” katanya ketika berucap dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas 2023 PKR, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan tawaran sedemikian tidak lagi relevan ketika ini kerana negara berdepan dengan hutang berjumlah RM1.5 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Saya beri contoh, pada masa sama dia minta tuntutan turun harga barang, harga kereta, minyak, turun semuanya yang dia tak buat masa dia…dan dia tinggalkan hutang kepada kita.
“Dia jugalah yang kata Perdana Menteri ini zalim. Potong peruntukan, meminggirkan negeri-negeri miskin sebab negeri-negeri ini adalah pembangkang, mana satu kau hendak? Hendak turunkan harga kereta atau peruntukan lebih besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rafizi menempelak Perikatan Nasional (PN) yang yakin dengan keupayaan untuk menawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan data sokongan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, penilaian yang dilakukan pimpinan parti itu tidak berdasarkan fakta sebenar dan memahami peralihan pengundi dalam kalangan orang Melayu dari UMNO atau Barisan Nasional (BN) kepada mereka.
“Bila saya tengok keputusan PRU lepas, ia tidak begitu, memang betul ada peralihan undi yang besar kepada PN tetapi tertakluk kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Bukan di seluruh negara, yang ada di Terengganu, Kelantan dan bahagian utara Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
“Ada peralihan yang besar di Pantai Barat Selangor tetapi daripada, bukan sangat PH hilang undi. Insya Allah data-data terkini menunjukkan memang sudah ada peralihan sokongan pengundi Melayu terutamanya pengundi muda kepada PH dan Kerajaan Perpaduan di sebelah Pantai Barat,” katanya. – UTUSAN