RAC diberi setahun tambah baik kemudahan lif di stesen komuter

RAC diberi setahun tambah baik kemudahan lif di stesen komuter

ANTHONY Loke (dua kanan) melancarkan RAILS di Ibu Pejabat RAC di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi tempoh setahun kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk menambah baik kemudahan lif dan eskalator di stesen-stesen komuter.

Menterinya, Anthony Loke berkata, itu fokus ditetapkan MOT tahun ini dan ia perlu dilaksanakan dalam beberapa fasa dengan tumpuan kepada stesen-stesen besar.

Beliau berkata, buat masa ini, audit sedang dilakukan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di sepanjang laluan komuter bagi tambah baik berkenaan.

“Dalam tempoh setahun ini, berapa banyak boleh kita selesaikan, jadi ini sasaran yang saya letakkan kepada RAC supaya cepatkan proses untuk sediakan lif dan eskalator di stesen besar.

“Mana-mana stesen yang belum ada lagi kemudahan itu, hasil audit akan dibentang dan kita bagi keutamaan dahulu untuk bina lif,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih Perbadanan Aset Keretapi (RAILS) di sini, hari ini.

Katanya, walaupun sasaran penambahbaikan dalam tempoh setahun, tapi sudah tentu akan ada cabaran besar untuk melaksanakan, namun ia mesti dilakukan.

Ditanya berapa stesen komuter yang terlibat dengan penambahbaikan itu, Loke berkata, beliau meminta RAC dan KTMB membentangkan audit mengenainya dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, RAC mempunyai tadbir urus yang baik dan sebarang perbelanjaan mesti dibawa kepada pihak lembaga pengarah, malah, lantikan kontraktor juga mesti mengikut dasar kerajaan seperti tender.

Terdahulu, Loke melancarkan RAILS iaitu aplikasi bagi memudahkan permohonan sewaan aset kereta api secara atas talian bagi memudahkan orang ramai menjadi rakan niaga RAC.

Loke berkata, beliau berharap lebih 50 peratus atau 1,500 penyewa RAC di Semenanjung Malaysia akan menggunakan RAILS bagi urus niaga.

“Kita tidak akan guna orang tengah untuk pungut sewa kerana RAC ada kemampuan untuk melakukannya. Justeru, penyewa diminta untuk menggunakan aplikasi ini,” katanya.

Katanya, RAILS akan memudahkan urusan antara penyewa dengan RAC khususnya bagi sewaan aset atau tanah-tanah di sepanjang laluan kereta api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya