KUALA LUMPUR: Episod baharu kemelut rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana ‘memuncak’ membabitkan hak penjagaan dua anak mereka.
Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin semalam menuntut hak penjagaan penuh Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Jika permohonan itu dibenarkan, suaminya, Syamsul Yusof hanya boleh mendapat hak lawatan dan bermalam.
Ia difailkan di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Ketika ditemui media, Sarah menyatakan beliau memutuskan untuk memfailkan permohonan tersebut semalam selepas ‘memikirkannya secara tiba-tiba’.
“Sebab semalam pun tiba-tiba, kita semua pun main ‘tiba-tiba’,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Puteri Sarah berkata, permohonan hadanah itu difailkan mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
“Seksyen itu memperuntukkan ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan,” katanya.
Tambah peguam syarie itu, pihaknya kini menunggu peluang untuk menyerahkan permohonan itu kepada Syamsul atau peguam lelaki itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai saman dan tuntutan nusyuz yang difailkan oleh Syamsul, Puteri Ummi Kartini memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang dokumen berhubung perkara itu.
“Kita akan menjawab selepas mengkaji apa tuntutan yang diminta kerana setakat ini pihak kami masih belum terima saman dan tuntutan berkenaan,” kata Puteri Ummi Kartini.
Kelmarin, Syamsul memfailkan saman dan tuntutan nusyuz terhadap Sarah atas empat alasan.
Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan tersebut ialah Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya di zaman kolej dan telah memfitnah Syamsul. – UTUSAN