SEPANG: Kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipastikan dapat dipulihkan terutama dari aspek penyelenggaraan dan pengurusan terminal itu agar kembali menjadi kebanggaan negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia susulan ranking lapangan terbang negara jatuh kepada tangga ke-67 di dunia berbanding tempat ke-62 pada tahun lalu mengikut penilaian terbaharu badan penarafan global terkenal, Skytrax World Airport Awards.
Laporan firma tersebut meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura sebagai terbaik di dunia diikuti terminal Hamad, Doha, Qatar dan Haneda, Tokyo, Jepun.
Beliau berkata, KLIA yang dibuka pada 1998 lalu pernah dalam senarai 10 terbaik global, namun kedudukan itu semakin merosot apabila kemudian jatuh sehingga tangga ke-14 kira-kira lebih sedekad lalu dan merudum ke-44 pada 2018.
“Antara sebab utama ialah aspek penyelenggaraan kerana reka bentuk KLIA cuma sesuai untuk suasana zaman lebih 20 tahun dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di terminal itu hari ini.
Loke berkata, perkhidmatan aerotrain antara bangunan utama Terminal 1 dan bangunan satelit yang kini terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana sudah dianggap usang turut menjadi sebab penarafan menurun.
Justeru, sebagai penyelesaian jangka pendek sebelum diganti dengan set baharu, MAHB selaku operator KLIA menyediakan 30 bas perantara berbanding sebelum ini cuma 18.
Pada masa sama, proses penukaran set aerotrain sedang berjalan dan beliau berharap isu tersebut dapat diatasi pada tahun ini juga kerana ia memberi imej kepada terminal itu termasuk sistem pengurusan bagasi yang agak lapuk.
“Begitu juga isu pemeriksaan masuk, namun ia di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan saya berharap, warga asing tidak perlu beratur lama ketika waktu puncak,” katanya. – UTUSAN