Pulau: Bukan sekadar filem kontroversi - Utusan Malaysia

Pulau: Bukan sekadar filem kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH kontroversi, Pulau bakal menjengah ke pawagam 9 Mac depan. Ada yang teruja dan ada juga yang masih membantah. Pelbagai reaksi mencetuskan elemen sensasi sekali gus mengundang kecaman ramai.

Berkesempatan menonton filem arahan sutradara prolifik, Euho, Pulau merupakan sebuah karya yang sebenarnya jauh daripada sangkaan segelintir pihak. Bukan sekadar naskhah porno yang disebut ramai.

Mengangkat keindahan Langkawi ke layar perak, Pulau boleh disifatkan sebagai sebuah naskhah yang cukup rempah ratusnya. Elemen seram, kelakar, sedih dan suspen diaduk sempurna.

Namun sekadar cukup itu belum sempurna. Seharusnya Pulau meletakkan satu, dua elemen utama yang mampu memberi lebih impak kepada jalan cerita serta pengolahan karakter pelakon.

Seramnya ada tetapi tidak cukup meremangkan bulu roma. Sedihnya ada tetapi tidak cukup meruntun jiwa. Semuanya sekadar cukup-cukup rasa. Tidak lebih dan tidak kurang.

Dari segi penceritaan, ramai beranggapan Pulau adalah naskhah turut mengambil beberapa inspirasi daripada filem-filem popular dunia. Cinta agung seorang isteri terhadap suami sebagai contoh mempunyai vibes sama seperti menonton filem Thailand, Nang Nak.

Tetapi tiada persamaan dari plot penceritaan, cuma apabila menonton adegan Moli dan Chen Ah, peminat filem ikonik Thailand itu pasti dapat merasakan perasaan sedih yang sama apabila menonton Pulau.

Malah, plot tujuh sekawan yang terperangkap di sebuah pulau berhantu dan terbiar juga seperti sudah banyak dipertontonkan menerusi pelbagai filem. Tetapi Euho bijak mewarnakan penceritaan itu dengan cara tersendiri.

Pulau bukanlah satu filem ‘art berat’ yang memerlukan kita untuk berfikir dalam. Namun ada beberapa adegan yang bakal membuatkan kita tertanya-tanya kepada diri sendiri tentang pilihan yang pernah dilakukan dalam hidup.

Nilai dan pengajarannya juga terkait rapat dengan norma kehidupan manusia. Tentang perasaan, jalan hidup dan masalah orang lain yang tidak semua kita tahu. Masing-masing ada rahsia sendiri.

Penjiwaan pelakon juga bukan satu isu. Amelia Handerson yang memegang watak Kat harus menerima pujian kerana dia berjaya menghidupkan karakter penuh misteri dan menyimpan seribu satu rahsia.

Berbeza daripada lakonannya dalam beberapa naskhah drama sebelum ini, Amelia bijak bermain emosi dan riak wajah yang berjaya membawa penonton memahami sisi gelap hidupnya.

Tidak dinafikan ada beberapa babak dalam Pulau yang mungkin bakal mencetuskan sensasi sekali lagi. Babak berbikini ketika sedang mandi dan adegan ‘kunang-kunang’ (penonton akan tahu) antaranya bakal mengundang kontroversi.

Namun di sebalik keseksian dan elemen intim yang diselitkan, Pulau yang ditulis Puovin dan Toomy Loh digarap dengan penceritaan yang baik serta plot twist penuh konflik yang membuka mata penonton.

Skor muzik dalam filem itu juga disusun baik oleh komposer, Ricky Lionardi yang dapat membangkitkan mood dan emosi penonton dalam setiap babak.

Selain Amelia, Pulau menampilkan pelakon handalan seperti Alif Satar, Namron dan Wna Hanafi. Filem itu juga mempertaruhkan wajah baharu dunia lakonan antaranya Ikmal Amry, Evie Feroza, Sajna Suri dan Jazmy Juma.

TONTON DAHULU, BARU NILAI

Penerbit Pulau, Fred Chong, ketika ditemui berkata, filem itu tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah naskhah yang terpalit kontroversi semata.

Jelasnya, peminat filem tempatan seharusnya memberi peluang dengan menonton terlebih dahulu dan menilai karya itu dari sudut pandang seni serta nilai murni yang cuba diketengahkan.

“Saya faham sensitiviti penonton bila kita buat Pulau. Ini adalah filem Melayu pertama Euho. Di set penggambaran, kami berbincang sesama sendiri. Ada beberapa babak yang kami dapatkan nasihat daripada pelakon juga.

“Saya juga ingin menonjolkan keindahan Langkawi. Produksi luar banyak memilih Langkawi sebagai lokasi penggambaran yang cantik, tetapi kita orang tempatan tidak menghargai keindahan itu.

“Pulau juga satu filem penuh penceritaan. Ada pelbagai emosi dalam filem ini. Elemen pengajaran juga banyak. Sebab itu saya mohon, tonton dahulu dan baru nilai,” katanya.

TRIVIA
» Pulau menelan belanja RM4 juta dan menjalani menggambaran selama 30 hari di Langkawi ketika negara dilanda pandemik (Disember 2021).
» Pulau bukan sahaja ditayangkan di Malaysia, tetapi bakal menembusi pasaran luar negara antaranya Singapura dan Brunei. Malah, Vietnam dan Thailand juga memberikan respons positif.
» Secara tidak sengaja, pihak produksi telah menemukan Gua Kedah Marble yang terbiar lebih 20 tahun. Gua tersebut dijadikan salah sebuah lokasi penting dalam penggambaran Pulau.
» Amelia terpaksa ‘berendam’ dalam laut selama 12 jam semata-mata untuk mendapatkan feel lemas. Semua pelakon filem itu juga diwajibkan untuk mengambil lesen menyelam sebelum mula penggambaran.
» Pasangan pelakon, Ms Pui Yi dan Mark Odea’mula rapat ketika menjalani penggambaran filem itu. Selepas setahun, mereka mengumumkan sedang bercinta

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya