Projek naik taraf, pembesaran LTAPP bermula tahun ini - Utusan Malaysia

Projek naik taraf, pembesaran LTAPP bermula tahun ini

ANTHONY Loke dan Chow Kon Yeow ketika meninjau operasi LTAPP di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dekat sini akan dimulakan sebelum hujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kerajaan Pusat sudah mengarahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) memulakan segera projek itu dengan tender terbuka perlu dilakukan dalam tempoh dua bulan.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat melihat projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP merupakan keperluan mendesak ketika ini memandangkan lapangan terbang tersebut sudah mengendalikan kapasiti penumpang melebihi kemampuan iaitu 6.5 juta orang setahun.

Sebagai contoh, kata beliau, LTAPP pada 2019 iaitu sebelum bermulanya pandemik Covid-19 mengendalikan sehingga 8.33 juta penumpang, malah seramai 4.27 juta penumpang direkodkan tahun lalu meskipun pembukaan sempadan negara hanya dibuka pada bulan April.

Tambahnya, keseluruhan pembiayaan bagi projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan hanya akan melibatkan kawasan sedia ada tanpa membabitkan pengambilan tanah seperti projek tambak baharu atau pengosongan kawasan sekolah.

“Projek pembesaran dan naik taraf LTAPP ini dijangka mengambil masa antara tiga empat tahun dan apabila siap kelak mampu menampung sekali ganda kapasiti penumpang ketika ini iaitu kira-kira 12 juta orang setahun.

“Dengan adanya projek pembesaran dan naik taraf LTAPP itu, ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pulau Pinang dengan meninjau operasi perkhidmatan awam di negeri itu termasuk melawat LTAAP dan menaiki feri sebelum pulang ke ibu negara menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Dalam pada itu, Anthony berkata, projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP itu akan menggunakan reka bentuk dan pelan sama seperti dalam kebenaran merancang yang diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2019.

Sementara itu, ditanya berkenaan kemungkinan kapasiti penumpang kembali melebihi had 12 juta orang selepas projek naik taraf tersebut, beliau menjelaskan, projek tersebut adalah fasa pertama dan pihaknya akan melihat kepada kajian yang akan dilakukan selepas itu berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai kontoversi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang dibina Kerajaan Negeri Kedah, Anthony berkata, pihaknya sehingga kini belum menerima permohonan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) bagi projek tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN