KUALA LUMPUR: Program Jom Ziarah yang merupakan projek syarikat Impact Malaysia tidak melibatkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program itu bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
“Berkenaan pendaftaran Jom Ziarah Gereja, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tidak ada belia Muslim yang akan memasuki gereja ini.
“Projek Jom Ziarah diusahakan oleh Impact Malaysia di bawah KBS adalah bukan menyamaratakan kedudukan mana-mana agama. Saya ulang, ini bukan projek untuk samaratakan mana-mana agama, ia juga bukan dilakukan dengan niat memberi gambaran bahawa semua agama itu mempunyai taraf yang sama seperti anggapan beberapa pihak.
“Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dalam kalangan kita. Ianya adalah usaha kita melihat untuk membezakan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai dan lebih harmoni,” jelasnya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat.
Selain itu, Ahli Parlimen Segambut itu juga mengatakan pelaksanaan program rumah ibadat bukan satu perkara yang baru.
“Kementerian Perpaduan Negara juga pernah melakukan lawatan ke rumah ibadat yang melibatkan pelbagai penganut bagi mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Harmoni,” katanya.
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai ‘ajakan’ kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja.
Bagaimanapun, Projek Impact Malaysia itu turut melibatkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk ziarah masjid. – UTUSAN