KLANG: Produk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dari Sabah terutama berasaskan makanan semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna sejak mula di pasarkan dekat Pusat Pemborong GM Klang pada tahun lalu.
Menurut Usahawan Authentic Sabah Mart di GM Klang,Goon Thien Shang, produk seperti kopi Tenom, mi segera, ikan bilis dan kicap pelbagai jenama sememangnya menjadi produk terlaris di kedai tersebut.
“Produk-produk ini semua dihasilkan oleh 200 pengusaha dan dibawa ke sini untuk dipasarkan. Kita ada bermacam produk makanan unik boleh dinikmati oleh orang Semenanjung Malaysia malahan oleh orang Sabah di sini yang merindui makanan tradisional mereka,” katanya ditemui pada majlis perasmian premis itu oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe di sini hari ini.
Sementara itu, Jin Zhe berharap, kerjasama dengan GM Klang menjadi perintis untuk lebih ramai usahawan dari negeri di bawah bayu itu meneroka pasaran produk PKS di Semenanjung Malaysia.
“Kerjasama antara kedua pihak adalah langkah progresif dan proaktif dalam mempromosi produk PKS yang unik dari sana.
“Pihak saya akan membantu usahawan berkenaan untuk meningkatkan kualiti pembungkusan dan rekabentuk bagi memastikan ia lebih kompetitif untuk jualan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu Pengarah GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, walaupun untuk permulaan hanya satu usahawan dari Sabah yang terlibat, namun pelbagai jenis produk PKS yang lain dari Sabah dialu-alukan untuk dipasarkan pada masa depan. – UTUSAN