PRN: PRM tanding 15 kerusi DUN Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: PRM tanding 15 kerusi DUN Pulau Pinang

MOHAMAD EZAM Mohd. Nor (empat dari kanan) bersama pemimpin PRM lain dalam sidang akhbar mengenai penyertaan parti itu pada PRN Pulau Pinang akan datang di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Parti Rakyat Malaysia (PRM) akan bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kerusi DUN itu adalah di kawasan pulau iaitu Air Putih; Tanjung Bunga; Pulau Tikus; Kebun Bunga; Seri Delima; Sungai Pinang; Air Itam; Pantai Jerejak; Batu Maung dan Teluk Bahang.

Sementara itu, lima lagi kerusi DUN yang bakal ditandingi adalah di kawasan Seberang Perai namun kerusi berkenaan akan diumumkan kemudian.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, PRM memberi tumpuan penuh kepada Pulau Pinang bagi memberi saingan kepada DAP yang mendominasi negeri itu sejak sekian lama.

”Saya sendiri akan turun membantu kempen calon-calon PRM di Pulau Pinang kerana kita mahu memberi saingan kepada kerusi-kerusi DUN milik DAP.

”Kami yakin akan memenangi sekurang-kurangnya lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PRM bertanding di lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal, namun kalah kesemua kerusi terbabit.

Menurut Mohamad Ezam, matlamat PRM untuk meletakkan calon-calon daripada parti itu pada PRN adalah untuk mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang.

”Disebabkan tiada pembangkang yang kuat, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menjadi dominan.

”Lihat sahaja kejadian di mana empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diarahkan mengosongkan kerusi mereka pada sidang DUN baru-baru ini, ia adalah sesuatu yang buruk bagi demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam yang merupakan bekas Ketua Pemuda PKR berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Pulau Pinang kelak.

”Saya mungkin bertanding di Pulau Pinang, namun parti belum buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Yee Cheu yang merupakan bekas ADUN Tanjung Bungah turut mengesahkan bakal bertanding mewakili PRM di kerusi DUN Air Putih yang kini disandang Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya