Masjid, surau bukan medan propaganda politik - Sultan Selangor

Masjid, surau bukan medan propaganda politik – Sultan Selangor

PRN
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Ke-14 dekat Dewan Negeri Selangor, Bangunan Annex di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Politik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini sekali lagi diingatkan tidak menjadikan masjid dan surau untuk berkempen terutama ketika Selangor bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Julai ini.

Masjid dan surau tidak wajar menjadi tempat berlaku perbalahan dan perpecahan akibat jurang politik sehingga menyebabkan keharmonian dalam masyarakat beragama Islam terjejas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau masjid dan surau di negeri ini dan mencegah penganjuran aktiviti propaganda politik terutama menjelang PRN.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang mewujudkan jurang perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya.

“Ini berlaku lantaran terdapat penceramah- penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Jelas Sultan Selangor, pemantauan sedemikian adalah untuk memastikan kesucian agama Islam terus dipelihara.

Malah, baginda turut menzahirkan sukacita terhadap usaha memperkasakan syiar Islam di Selangor yang memperteguh kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Beta menyambut baik usaha kerajaan beta menyediakan RM65 juta khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid dan surau serta pejabat agama Islam.

“Kedudukan agama lain turut terpelihara di Selangor. Beta juga menyambut baik usaha kerajaan beta menyediakan peruntukan lebih tinggi pada tahun ini kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS) dengan peruntukan berjumlah RM8 juta berbanding RM6.3 juta tahun lepas,” zahirnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian ekonomi negeri yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada 2021 iaitu lebih baik berbanding nasional (3.1 peratus) serta rekod Kutipan Hasil Negeri 2022 sebanyak RM2.533 bilion.

“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2022, Selangor merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.70 bilion dengan 199 projek perkilangan yang diluluskan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.58 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM6.12 bilion adalah pelaburan asing. Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek perkilangan yang diluluskan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya