PRN: Kemenangan besar PH-BN penentu kelangsungan Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

PRN: Kemenangan besar PH-BN penentu kelangsungan Kerajaan Perpaduan

ANTHONY LOKE Siew Fook ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi menjadi penentu kepada kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemenangan besar Kerajaan Perpaduan khususnya pada PRN di Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan dan Kedah akan menjadi faktor penting kepada PH dan BN untuk terus kekal menerajui Putrajaya.

Malah, beliau turut menyifatkan kemenangan besar Kerajaan Perpaduan pada PRN Pulau Pinang adalah sama seperti kemenangan ke arah mengekalkan pentadbiran Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hanya dengan kemenangan besar kita di Pulau Pinang dapat membantu mengekalkan Kerajaan Perpaduan, dan kerajaan hari ini perlu dikekalkan kerana hanya kita yang dapat memupuk perpaduan dan membawa dasar-dasar progresif untuk negara.

“Jika Kerajaan Perpaduan ini digulingkan dan gagal dipertahankan, maka kerajaan baharu yang akan menggantikan kita kelak akan membawa negara kita ke belakang.

“Kita tidak boleh membenarkan mana-mana puak termasuk pelampau agama untuk menerajui negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.

Menurut Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan, kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat juga bakal memberi kelebihan dan kestabilan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya.

Ini kerana, jelas beliau, sekiranya DAP tidak membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini, Pulau Pinang akan terus dipinggirkan dari segi peruntukan seperti yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu termasuk selepas tumbangnya Kerajaan PH pada Februari 2020.

“Langkah Sheraton telah menggantikan sebuah Kerajaan Pusat yang tidak pro-Pulau Pinang, mereka meminggirkan dan menganak-tirikan Pulau Pinang, projek-projek pembangunan diketepikan dan ini sudah semestinya membantutkan pembangunan di negeri ini.

“Tetapi hari ini, kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan semangat kita dalam kerajaan ini adalah kita tidak akan meminggirkan mana-mana negeri, walaupun saya Menteri daripada DAP, namun saya akan menjaga seluruh rakyat dan seluruh negeri, apatah lagi negeri-negeri PH yang sudah tentu tidak akan dipinggirkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya