PETALING JAYA: Presiden keempat MCA, Tan Sri Lee San Choon dilaporkan meninggal dunia, pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu hantaran di Facebook, sambil menyifatkan berita pemergian itu adalah satu perkhabaran duka buat MCA.
Sehubungan itu, Ka Siong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
“Mendiang yang pernah menjadi Ahli Parlimen termuda semasa pilihan raya umum pada 19 Ogos 1959 telah mengabdikan diri kepada masyarakat dan negara, sudah tentu jasa dan khidmatnya terus dikenang sampai bila-bila.
“Semangat juang mendiang yang begitu tinggi menjadi sumber inspirasi serta kekuatan kepada pimpinan serta ahli MCA hari ini, termasuk saya. Secara peribadi saya amat kagum dengan ketokohan beliau dalam memimpin parti, membela nasib rakyat berbilang kaum dan bersama membina negara.
“Semasa hayatnya, mendiang pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan diberi mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen Seremban. Sebagai penghargaan atas jasa-jasanya, MCA telah menamakan dewan di Wisma MCA sebagai Dewan San Choon,” katanya. – UTUSAN