Premis seleweng diesel diserbu

Premis seleweng diesel diserbu

LORI tangki yang disita setelah disyaki menyimpan diesel tanpa kebenaran di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Mergong, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sejumlah 41,000 liter minyak diesel dirampas dalam serbuan pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Mergong, di sini semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi pada pukul 11 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Kuala Kedah itu mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk berurus niaga dengan barang kawalan tersebut.

“PPM bertindak menyita sejumlah minyak diesel yang ditemukan dalam sebuah lori dan dua tangki. Sebuah lori tangki bernombor pendaftaran tempatan dan peralatan lain seperti pam minyak sebanyak tiga unit dan pam hos sebanyak enam unit disita kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel berkenaan.

“Pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 60-an turut ditahan untuk siasatan lanjut. Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM88,150, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM126,150,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN