KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membanteras kegiatan menjual mercun serta bunga api tanpa permit pada Ramadan ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, berkata, pegawai dan anggota pasukan khas itu akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan penjualan barangan larangan itu.
Menurutnya, antara lokasi pemeriksaan itu seperti bazar Ramadan dan pasar malam serta sempadan di setiap daerah.
“Setiap kali bulan puasa atau menjelang hari raya, akan timbul isu penjualan dan penyeludupan mercun serta bunga api tanpa permit.
“Polis Terengganu tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas individu yang melakukan kesalahan di bawah akta berkaitan.
“Langkah tersebut diambil kerana bermain mercu dan bunga api boleh membahayakan masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Wan Rukman memberitahu, pihak berkuasa hanya membenarkan beberapa jenis bunga api dan mercun sahaja dijual di pasaran.
Pada masa sama, katanya, beliau mengingatkan ibu agar supaya memantau anak-anak mereka yang bermain mercun dan bunga api.
“Aktiviti permainan bunga api dan mercun tanpa kawalan serta pemantauan ketat ibu bapa boleh mengakibatkan kecederaan parah malah kehilangan nyawa orang tersayang,” ujarnya. – UTUSAN