PETALING JAYA: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita dipercayai terlibat dalam pergaduhan di laluan koridor di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Bestari, Ampang dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada 12 tengah hari apabila pengadu berusia 21 tahun terlihat ibunya sedang berjalan di laluan koridor hendak ke rumah jiran namun telah dihalang oleh seorang lelaki jiran sebelah rumah.
Katanya, pengadu telah menegur suspek dengan bertanya sebab menghalang laluan ibunya namun lelaki tersebut telah menjerit ke arahnya beberapa kali.
“Suspek terus meluru ke arah pengadu dan menumbuk dada pengadu di bahagian bahu kiri sebelum berundur dan membuka pintu rumahnya. Secara tiba-tiba ahli keluarganya telah keluar dari rumah dan berlaku pertengkaran di antara pengadu dan mereka.
“Abang pengadu telah keluar dari rumah untuk meleraikan kejadian tersebut namun diserang oleh adik perempuan suspek dengan membaling objek disyaki penutup tong sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, menurut Mohamad Farouk, pihaknya menahan empat individu termasuk dua wanita berusia 21 hingga 32 tahun.
“Pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai kesalahan lampau. Turut dirampas, satu tong sampah yang digunakan semasa perbalahan berkenaan.
“Kesemua mereka direman bermula hari ini sehingga Khamis bagi disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan,” ujarnya. – UTUSAN