SHAH ALAM: Polis berjaya menyelesaikan tiga kes letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sekitar 2020 hingga tahun ini di sekitar daerah ini dan Klang selepas menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 43 tahun dalam tiga serbuan berasingan, kelmarin.
Insiden terkini melibatkan peletupan dua buah mesin ATM sebuah bank dekat Setia Alam pada 23 Februari lalu apabila melibatkan kehilangan wang sebanyak RM267,150.
Bagaimanapun, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan kesemua suspek yang bekerja sebagai mekanik dalam operasi berasingan sekitar Meru, Klang dan Kuang, Rawang, kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika serbuan mereka didapati sedang mencuci dakwat yang berada wang tersebut menggunakan cecair peluntur.
“Semasa ATM diletupkan kumpulan suspek ini didapati wang itu telah disemburkan dengan dakwat dari mesin tersebut. Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka pernah terlibat dalam dua lagi kes letupan mesin ATM dari bank sama pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu di Meru.
“Mereka memilih ATM dari bank sama ekoran masih menggunakan sistem mesin yang lama iaitu boleh ditebuk dan diletupkan dengan gas yang biasa digunakan bagi tujuan kimpalan besi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, berdasarkan siasatan juga mendapati dalang atau ketua kumpulan ini adalah seorang mekanik berusia 43 tahun yang ditahan di Kuang.
“Semasa dalangnya ditangkap kita turut merampas tong gas selain merampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Turut dirampas dalam tiga serbuan seperti wang tunai berjumlah RM202,400, gulungan kabel dan ‘signal jammer’ dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama.
“Ketiga-tiga suspek juga adalah penagih dadah dan semakan mendapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” jelasnya.
Hussein menegaskan pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN