Pokok asam jawa berusia 200 tahun - Utusan Malaysia

Pokok asam jawa berusia 200 tahun

SALMIAH Shaari (tengah) mengopek asam jawa di atas buaian di bawah pokok tersebut yang berusia 200 tahun di belakang rumahnya di Kampung Bawah Bukit, Chuping, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Aktiviti me­ngutip dan mengupas buah asam jawa setiap kali musimnya sangat sinonim dan cukup rancak dalam kalangan penduduk kampung di sekitar negeri ini.

Lebih unik di Kampung Bawah Bukit, Chuping terdapat sebatang pokok asam jawa yang berusia hampir 200 tahun di belakang rumah pasangan warga emas masih mengeluarkan hasil banyak setiap musim iaitu sekitar Januari hingga Mac.

Hasil buah asam jawa dari pokok berkenaan mampu memanfaatkan lebih 50 penduduk setempat dan dalam kalangan saudara-mara Salmiah Shaari, 60, sendiri yang tidak menjualnya, sebaliknya hanya memberikan secara percuma kepada mereka yang datang mengutip buah berkenaan setiap kali musim.

Asam jawa merupakan antara komponen bahan mentah yang penting dalam masakan dan juga ‘wajib’ ada di setiap rumah.

Lazimnya, asam jawa yang sudah siap dikupas dijual di pasaran pada harga sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Salmiah yang mesra disapa Mak Ngah berkata, setiap kali musim, dia meluangkan masa melakukan aktiviti mengupas asam jawa yang menjadi satu keseronokan dan kepuasan kepadanya.

Jelasnya, tahun ini, ha­sil agak banyak iaitu sekitar 100 kilogram di mana penduduk dan saudara-mara datang bersama mengutip buah berkenan.

“Sejak menetap di sini 24 tahun lalu, pokok asam jawa ini difahamkan berusia ratusan tahun.

“Saya tidak jual asam jawa ini, bagi secara percuma kepada penduduk sekitar atau jiran-jiran. Aktiviti mengupas asam jawa sangat mengasyikkan dan kadangkala boleh berlarutan sehingga berjam-jam,” katanya.

Katanya, proses menghasilkan asam jawa tidak begitu rumit iaitu selepas dikopek isinya digaulkan dengan garam supaya tahan lebih lama seterusnya di­simpan di dalam bekas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya