PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbangga dengan prestasi pelbagai agensi awam dalam isu pengurusan bencana banjir terutamanya di Johor ketika ini.
Malahan, beliau menyifatkan kesiapsiagaan jentera kerajaan sama ada peringkat negeri dan Persekutuan yang dapat digerakkan dengan pantas dan lebih baik di negeri tersebut.
“Saya lebih lihat tindakan barisan penjawat awam itu sendiri tidak perlu tunggu arahan. Dia tahu banjir, terus ambil tindakan dan beritahu apa yang akan siap segera,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Mac 2023 di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.
Semalam, beliau melakukan tinjauan di beberapa buah pusat pemindahan sementara di Segamat, Johor yang dilanda banjir dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mengulas lanjut, Anwar turut berterima kasih kepada usaha timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali.
“Saya dimaklumkan bantuan telah pun disalurkan dalam tempoh setengah hari, malah di kawasan terputus jaringan pengangkutan sekurang-kurangnya bawah 24 jam,” katanya.
Menyentuh ramalan akan berlaku banjir di Sarawak pula, beliau mahu tindakan pantas sama seperti di Johor termasuk penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan dengan tindakan penyelarasan gerak kerja dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – UTUSAN