PM gesa syarikat swasta, GLC terlibat aktviti wakaf

PM gesa syarikat swasta, GLC terlibat aktiviti wakaf

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa inisiatif menyemarakkan aktiviti wakaf dapat diteruskan terutama menggalakkan penglibatan mana-mana individu, persatuan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha tersebut.

Perdana Menteri berkata, aktiviti wakaf ini merupakan tradisi yang mesti dihidupkan dan mereka boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan keutamaaan dalam bidang-bidang tertentu.

Pada masa sama, beliau berkata, bentuk tanah wakaf sedia ada turut akan dikaji dan diteliti semula agar dapat dibangunkan seperti dilaksanakan di beberapa tempat di negara ini.

“Jadi saya percaya dengan ikhtiar tambahan wakaf ini kita dapat menyemarakkan lagi usaha kerana selagi kita meneruskan ikhtiar ini terutama pada bulan Ramadan sudah tentu dapat meningkatkan usaha amal jariah, sedekah dan wakaf yang menghidupkan bulan mulia.

“Ini gesaan saya dan saya juga akan pantau syarikat kerajaan untuk mencari hala tuju baharu untuk meningkatkan usaha sedemikian,” katanya dalam rakaman ucapan sempena Majlis Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi siaran TV Hijrah.

Anwar berkata, perencanaan pembentukan Wakaf Madani dengan aset RM1bilion sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, ini termasuk memperincikan maksud Wakaf Madani dan apakah langkah-langkah yang akan dilakukan untuk memajukan kegiatan wakaf keseluruhannya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, Anwar memberitahu, aset Wakaf Madani itu terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Kerajaan akan turut menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang dipengerusikan olehnya dengan objektif wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

Anwar turut menarik perhatian berhubung aktiviti wakaf yang menjadi tradisi umat sejak zaman Rasulullah SAW apabila baginda mewakafkan kebun kurma di Madinah dan melancarkan Masjid Quba.

Beliau berkata, tradisi itu diteruskan pada zaman seterusnya apabila usaha pembinaan wakaf itu dapat melahirkan bukan sahaja masjid, tetapi pusat pengajian universiti utama dunia Islam termasuk Universiti Al-Azhar.

“Salah seorg pemikir Islam, Fazlul Rahman melihat wakaf di zaman baharu pasca merdeka seperti Indonesia melahirkan ratusan universiti, maahad tahfiz dan kolej-kolej yang kebanyakan diusahakan oleh Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah.

“Kita juga tidak ketinggalan walaupun tidak sebesar itu. Sebab itu inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyemarakkan inisiatif dan meneruskan ikhtiar kebijakan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya