KEPALA BATAS: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melancarkan platform khas kod QR aduan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarahnya, Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, orang ramai boleh mengimbas kod QR yang tertera di setiap gerai untuk membuat aduan berhubung tahap kebersihan dan teknik pengendalian makanan peniaga bazar Ramadan.
Kata beliau, pihaknya berharap orang ramai akan menggunakan saluran itu kerana lebih mudah untuk menyalurkan aduan mengenai kebersihan gerai dan aspek pengendalian makanan.
“Sehingga 28 Mac lalu, JKNPP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah memeriksa sebanyak 951 gerai di 13 tapak bazar Ramadan negeri ini.
“Selain itu, sebanyak 53 sampel pelbagai jenis makanan telah diambil secara rawak dan dihantar ke makmal untuk dianalisa bagi memastikan tahap keselamatan makanan yang dijual di bazar.
“Pengambilan sampel makanan gerai-gerai ini adalah prosedur biasa, malah pemantauan akan diteruskan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai terjamin kebersihannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian program Sambut Ramadan Dengan Budaya 3-M serta pelancaran kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Bertam Putra, di sini semalam.
Perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin.
Mengulas lanjut, Dr. Fazilah turut menasihatkan orang ramai supaya memilih gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik.
“Kita peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Menerusi pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, kita jamin tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal.
“Aduan pengunjung menerusi kod QR turut akan disemak sebelum kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN