PKS perlu tingkat pendigitalan dalam perniagaan - Utusan Malaysia

PKS perlu tingkat pendigitalan dalam perniagaan

Pendigitalan
AHMAD Sabirin Arshad berucap pada majlis menandatangani MOU dan MOA bersama AMIC dan Hannan Medispa di, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peniaga dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa untuk melipat gandakan usaha pendigitalan perniagaan bagi kelangsungan perniagaan mereka sendiri.

Pendigitalan merangkumi operasi harian, pengurusan, pemasaran dan urusniaga untuk memastikan wujud kemampanan dan daya tahan dalam perniagaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, peniaga dalam industri itu dilihat masih lagi ketinggalan meskipun kebanyakan syarikat perniagaan sudah lama mendigitalkan perniagaan mereka.

“Menjelang 2035, dunia akan tertumpu kepada pengunaan internet pelbagai guna (IOT), blok rantai dan kecerdasan buatan (AI).

“Pendigitalan ini bukan sekadar pemasaran perniagaan dalam talian, tetapi ia lebih kepada penyimpanan maklumat perniagaan dalam bentuk digital,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara SIRIM dengan Hannan Medispa dan memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM dengan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) di SIRIM Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, penyimpanan maklumat dalam bentuk digital ini dapat membantu peniaga tersebut merangka pelan perniagaannya dengan lebih baik, sekaligus dapat meningkatkan perolehan perniagaan mereka.

Ahmad Sabirin menjelaskan sekiranya usaha pendigitalan tidak dibuat, peniaga dalam PKS dikhuatiri akan ketinggalan dan tidak mampu berdaya tahan pada masa akan datang.

“SIRIM akan memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Kepintaran Perindustrian dan Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka beroperasi pada tahun hadapan dengan kerjasama beberapa syarikat lain.

“Sementara menunggu pusat itu beroperasi, kami kini sedang giat mempromosikan penggunaan AI dan IOT kepada beberapa syarikat PKS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya