Pitas, Tongod, Kota Marudu bebas kelompok termiskin

Pitas, Tongod, Kota Marudu bebas kelompok termiskin

AHMAD Zahid Hamidi (kanan) bersama Hajiji Noor semasa Mesyuarat Penyelarasan KKDW bersama kerajaan negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasrat mengeluarkan tiga daerah dari kelompok termiskin di Sabah dilihat akan mampu direalisasikan menerusi projek yang akan dibangunkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan membantu tiga daerah iaitu Pitas, Kota Marudu dan Tongod keluar daripada daerah termiskin melalui pelaksanaan projek-projek desa termasuk prasarana dan utiliti.

“Ini adalah ‘game changes’ oleh kerajaan negeri dan KKDW. Pelaksanaannya akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi merealisasikan hasrat membawa rakyat di ketiga-tiga daerah ini keluar dari miskin tegar,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW bersama kerajaan negeri hari ini.

Dari segi tempoh masa, beliau akan menunggu cadangan daripada kerajaan negeri terutama jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang akan memperincikannya dengan Ketua Setiausaha KKDW.

Beliau berkata, penyelarasan projek yang dilakukan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta ke bawah seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Penyelarasan yang dilakukan akan membabitkan pembentukan jawatankuasa teknikal di bawah kerajaan negeri dan ia turut membabitkan ketua-ketua jabatan dan kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, KKDW juga mencadangkan untuk mewujudkan Estet Padi di Sabah yang akan dibangunkan melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) di kawasan yang akan dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

Ia penting untuk keterjaminan makanan bagi memastikan bekalan padi di Sabah mampu menampung penggunaan tempatan serta disimpan sekiranya ada keperluan.

Ahmad Zahid berkata, penduduk kampung yang terlibat dengan estet ini akan memperoleh dividen dan juga menjadi tenaga kerja di kawasan pembangunan tanaman padi ini.

Di samping itu, kawasan perumahan akan turut dibangunkan di estet padi ini bagi penempatan peneroka yang terlibat.

Mengenai pelaksanaan estet padi itu, beliau berkata, soal tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri maka, biarlah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan mengenai pembangunan estet tersebut.

“Pada dasarnya, kita telah berbincang dan Ketua Menteri perlu bawa (cadangan) ke Jemaah Kabinet untuk kelulusan. Pembangunan estet padi ini telahpun dilaksana di Pasir Salak yang dikenali sebagai Seberang Perak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya