SEPANG: Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diteliti dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) ketika ini masih menerima taklimat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan segala pindaan yang bakal dibuat adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan.
“Draf rang undang-undang (RUU) itu telah dilulus oleh AGC (Jabatan Peguam Negara) dan Kabinet sebelum PRU (Pilihan Raya Umum Ke-15), tetapi Kerajaan Perpaduan perlu sedikit masa untuk teliti apa-apa cadangan sebelum ini.
“Kalau semua (berjalan) lancar mungkin pada sidang Parlimen akan datang (Jun) boleh bentang (kerana) perlu dapat persetujuan menteri. Saya perlu teliti draf RUU berkenaan kerana setakat ini taklimat (masih) tidak lengkap dan kita minta SKMM kaji semula.
“Selepas dapat kesemua input dan berpuas hati dengan draf RUU itu, (kita) akan hantar kepada AGC untuk kelulusan dan jemaah menteri,” katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan kempen #BeCyberSmart dan aplikasi Protect 360 di Mitsui Outlet Park hari ini.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang meneliti akta berkenaan bagi memenuhi keperluan perkembangan digital semasa dan mengambil kira perubahan teknologi maklumat selain ia tidak dikemas kini sejak sekian lama. – UTUSAN