Pesawah didakwa dera anak tiri - Utusan Malaysia

Pesawah didakwa dera anak tiri

TERTUDUH (kanan) dibawa masuk ke mahkamah atas pertuduhan mendera anak tirinya berusia enam tahun sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal pada kanak-kanak berkenaan di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pesawah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak tirinya berusia enam tahun antara tempoh dari 8 Mac sehingga 14 Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Sofi Ramli, 34, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah sekitar Alor Lanchang, Jejawi.

Selain itu, dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan pihak terlibat juga dilarang mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Namun, peguam tertuduh, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan minima bersama aku janji tidak akan menetap di rumah bersama mangsa dan akan akur dengan sebarang syarat tambahan dikenakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dengan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak menganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Mahkamah turut menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang ditemui kesan lebam pada bahagian badan selain terdapat bekas parut lama di bahagian belakang, tangan, peha dan pipi dipercayai didera oleh bapa tirinya.

Perkara itu disedari guru tabikanya sewaktu melakukan pemeriksaaan tubuh pada mangsa berkenaan.

Mangsa dikatakan turut mendedahkan kepada guru tabika berkenaan bahawa dirinya telah dipukul oleh bapa tirinya itu kerana tidak menuruti kata-kata suspek.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya