Pertikai kedaulatan Pulau Pinang; Sanusi dedah diri kepada Akta Hasutan - Utusan Malaysia

Pertikai kedaulatan Pulau Pinang; Sanusi dedah diri kepada Akta Hasutan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu kedaulatan negeri tersebut.

Malah, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengingatkan, sekiranya tidak berhati-hati dalam ucapannya, Muhammad Sanusi boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan perasaan ‘kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.

Dalam masa sama, Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya membawa isu itu ke mahkamah kerana ia bukan semata-mata melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bahkan secara tidak langsung mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘penjaga’ kepada negeri-negeri yang tidak beraja.

“Perkara ini merupakan suatu persoalan undang-undang yang serius yang mana Menteri Besar Kedah dipelawa untuk memperkukuhkan kenyataan beliau dari aspek perundangan di mahkamah.

“Ia (mahkamah) adalah forum yang lebih sesuai bagi membolehkan kedua-dua kerajaan negeri diberi peluang menghuraikan kedudukan undang-undang yang lebih jelas berhubung perkara berkaitan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika membahaskan usul tanpa pemberitahuan oleh Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi yang bersifat menghasut dan ekstremis oleh Muhammad Sanusi.

Menerusi usul itu, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP berkata, kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 buah negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.

Selain itu, Guan Eng menerusi usul sama mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan atau diceroboh oleh Menteri Besar Kedah.

Malah, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang tersebut yang tular di dalam media sosial.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, adalah tidak wajar sebuah buku yang ditulis oleh sejarahwan, R. Bonney iaitu ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’ digunakan sebagai bukti kukuh bagi merendahkan atau mengatasi Perlembagaan Persekutuan yang telah mengemukakan kedudukan undang-undang berkaitan kedaulatan negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Sebaliknya, jelas beliau, dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan pada 1957, suatu perundangan yang tidak dapat dinafikan ialah kedudukan Pulau Pinang sebagai suatu negeri yang ada kedaulatannya diperkukuhkan.

“Sebagai tambahan, Perkara 88 Perlembagaan Persekutuan juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang menguatkuasakan hak dan kedaulatannya seperti negeri-negeri lain bagi maksud kawalan ke atas tanah negeri,” katanya.

Usul tanpa pemberitahuan itu kemudiannya diterima sebulat suara selepas dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Mohd. Yusni Mat Piah (Penaga Pas); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir); M. Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (UMNO-Sungai Dua).

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

Dakwa Menteri Besar Kedah berkenaan, fakta itu adalah berdasarkan sejarah, justeru Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya