Pertandingan Wau Terbuka Selangor gemilang seni warisan

Pertandingan Wau Terbuka Selangor kembalikan kegemilangan seni warisan

PARA peserta yang berjaya memasuki peringkat akhir kategori Wau Kapal Cantik mempamerkan wau tercantik masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Pemuda Jalan Genting dan Pemuda Surau Haji Omar berganding bahu menganjurkan Pertandingan Wau Terbuka Selangor 2023 di padang Sekolah Menengah Rantau Panjang, Klang, baru-baru ini.

Kejohanan yang disertai seramai 450 pemain wau dari seluruh daerah antaranya Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula pada pukul 8 pagi itu, bertujuan mengembalikan kegemilangan seni warisan permainan tradisional Melayu.

AZZELI Muhamad (tengah) bergambar bersama Ewa yang muncul juara kategori Wan Kapal Cantik Terbuka Selangor 2023.

Pengerusi pertandingan itu, Azzeli Muhamad berkata, sebagai pembuka bagi Tahun 2023, hanya dua kategori dipertandingkan iaitu Wau Kapal Tegak dan Wau Kapal Cantik, dan pada tahun akan datang mungkin lebih banyak kategori akan diperkenalkan. 

Katanya, kategori Wau Kapal Cantik menawarkan hadiah utama bernilai RM300 dan sijil, manakala hadiah kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM200 dan RM100 dan sijil. 

“Bagi kategori Wau Kapal Tegak pula menawarkan hadiah utama berjumlah RM1,500 beserta bakul makanan dan sijil, manakala hadiah kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM800 dan RM500 beserta bakul makanan dan sijil. 

“Selain itu, pemenang tempat keempat hingga ke-10 juga membawa pulang wang tunai berjumlah RM80 beserta bakul makanan, manakala pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 membawa pulang wang tunai berjumlah RM50 beserta bakul makanan dan sijil,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi kategori Wau Kapal Tegak, juara menjadi milik kumpulan Cempaka Speed, manakala naib juara dirangkul oleh kumpulan Garuda dan kumpulan Port Klang di tempat ketiga.

Manakala bagi kategori Wan Kapal Cantik pula, Ewa yang tampil dengan wau berkonsep Transformer ditabalkan sebagai juara, sementara Kanchoi di tempat kedua dan Ary ditangga ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN