Permit kutipan siput retak seribu boleh dikeluar jika tiada bantahan - Utusan Malaysia

Permit kutipan siput retak seribu boleh dikeluar jika tiada bantahan

SEORANG penduduk melakukan kerja-kerja mengasingkan siput retak seribu yang ditangguk oleh nelayan di Kuala Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Perikanan negeri boleh mengesyorkan pengeluaran lesen atau permit untuk menangkap siput retak seribu dengan syarat ia tidak mendapat bantahan mana-mana pihak.

Berdasarkan laporan kajian yang dilaksanakan sebelum ini, Jabatan Perikanan negeri sememangnya bersetuju untuk mengeluarkan lesen atau permit siput retak seribu secara terkawal agar sumber itu dapat dimanfaatkan dan dinikmati oleh nelayan setempat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, sesi libat urus di antara jabatan dan komuniti nelayan turut dijalankan sebelum ini namun masih terdapat bantahan daripada beberapa pihak yang menyebabkan usaha ke arah pengeluaran lesen atau permit siput retak seribu itu tidak dapat dilaksanakan.

“Hasil keputusan mesyuarat berhubung pengeluaran permit atau lesen siput retak seribu yang dijalankan bersama Persatuan Nelayan Negeri Perlis (Pelaris) pada 24 Februari lalu dan mesyu­arat bersama Lembaga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis pada 27 Februari lalu, mereka tidak bersetuju permit dikeluarkan supaya tidak menjejaskan ekosistem marin di perairan Perlis,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, hasil daripada ke­giatan menangguk siput retak seribu oleh nelayan negeri ini di perairan Kuala Perlis di sini mampu mencecah sehingga 40 sehingga 50 tan metrik dengan nilai mencecah RM75,000 sehari atau RM2.25 juta dalam tempoh sebulan.

Jika setahun, nilai hasil tangkapan berkenaan dikatakan boleh mencecah sehingga RM27 juta di sebalik aktiviti penangkapan siput tersebut diharamkan oleh Jabatan Perikanan.

Justeru, kira-kira 200 nelayan di negeri ini meminta agar Jabatan Perikatan ‘menghalalkan’ aktiviti tersebut atau sekurang-kurangnya mengeluarkan permit kepada mereka bagi melakukan kegiatan berkenaan disebalik hasil laut seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya yang semakin merosot.

Razali berkata, memandangkan taburan populasi siput retak seribu yang banyak di perairan negeri Perlis tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan setempat, maka faktor itu menyebabkan berlakunya pencerobohan oleh nelayan luar.

“Pencerobohan ini adalah daripada nelayan Kedah dan Thailand berikutan terdapat permintaan yang tinggi terhadap siput retak seribu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, Jabatan Perikanan menerusi Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh (FRIKA) turut menjalankan kajian dan mendapati taburan populasi siput retak seribu yang berada di perairan negeri Perlis adalah sebanyak 493 tan metrik dengan nilai anggaran berjumlah RM1.9 juta (harga pantai RM4/kilogram).

Tambahnya, terdapat beberapa cadangan lain dikemukakan oleh FRIKA berhubung pengeluaran permit siput retak seribu antaranya dengan memberikannya kepada nelayan berlesen.

“Selain itu, pihak terlibat mencadangkan agar sebanyak 20 kuota disediakan bagi pengeluaran lesen/permit siput retak seribu di pangkalan sedia ada malah nelayan harus menggunakan tangguk bergalah dengan panjang lengan dihadkan lima meter untuk mengambil siput,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya