PETALING JAYA: Sesi pembukaan sekolah yang berdekatan dengan ketibaan Ramadan pada hujung bulan ini disusuli pula dengan sambutan Aidilfitri menyebabkan sebahagian ibu bapa terpaksa ‘mencatu’ perbelanjaan harian mereka.
Ini kerana ibu bapa perlu membeli seragam sekolah, beg sekolah, alat tulis dan pelbagai lagi barang keperluan untuk sesi baharu persekolahan pada 20 Mac ini serta barangan dapur dan baju raya bagi persiapan menyambut Ramadan serta perayaan Aidilfitri.
Noramah Husain, ibu kepada dua orang anak berusia 11 tahun dan 16 tahun berkata, situasi seperti itu jarang berlaku menyebabkannya berasa agak terbeban dan tertekan kerana memerlukan duit untuk melakukan persiapan.
“Anak saya memasuki tingkatan empat jadi lagi banyak perbelanjaan sekolah hanya untuk dia seorang, tidak termasuk barangan untuk adiknya.
“Kos untuk kedua-dua persiapan ini boleh mencecah sekurang-kurangnya RM2,000 dengan keadaan ekonomi kini yang hampir semua barang sudah meningkat harga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menyokong pendapat yang sama, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nawwar berkata, situasi kali ini agak membebankan untuk membuat persiapan dan persediaan mental serta emosi terutama bagi anak lelaki saya yang baru memasuki tahun satu.
“Kedua-dua anak saya akan memulakan sesi tadika dan sekolah yang baharu, jadi semua barangan persiapan sekolah adalah baharu seperti uniform, kasut, beg dan alat tulis.
“Dari segi kewangan, sememangnya dapat terasa sedikit bebanan kerana perlu belanja yang agak besar hanya untuk persiapan sekolah dan tidak termasuk persediaan Aidilfitri lagi.
“Kos untuk persiapan sekolah seorang anak sahaja mampu mencecah hampir RM800 termasuk yuran permulaan dan barangan sekolah yang diperlukan,” kata ibu kepada dua orang anak berusia lima dan tujuh tahun itu.
Noor Maziah Idris, ibu kepada pelajar 17 tahun pula tidak terasa bebannya kerana kebanyakan barangan sekolah akan digunakan daripada tahun sebelumnya dan sudah disediakan lebih awal.
“Lebih-lebih lagi tarikh ini sudah diumumkan lebih awal dalam kalender takwim pada awal tahun oleh pihak kerajaan, jadi persiapan sudah dilakukan sejak itu.
“Yuran sekolah juga tidak begitu tinggi, jadi perbelanjaan untuk persiapan sekolah hanya akan mencecah sekitar RM400 dan perbelanjaan untuk Aidilfitri akan dilakukan secara sederhana juga sekitar RM800,” katanya. – UTUSAN