Perlis: Pertembungan Fathul Bari, Azlan jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Perlis: Pertembungan Fathul Bari, Azlan jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN UMNO di Perlis kali ini pastinya menarik apabila menampilkan banyak muka baharu khususnya bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Lebih-lebih lagi selepas dua ‘otai’ politik yang selama ini terlalu dominan iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin dipecat parti.

Selepas proses pencalonan ditutup, antara pertembungan yang menarik perhatian adalah antara Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang bakal menentang penyandang, Datuk Seri Azlan Man bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Azlan adalah bekas Menteri Besar merangkap Pengerusi Ba­dan Perhubungan UMNO ne­geri manakala Fathul Bari pula sebelum ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti.

Jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar juga bakal menampilkan muka baharu apabila tiga calon bakal me­rebut jawatan itu iaitu Hamunir Hamzah, Zainudin Osman dan Hamizan Hassan yang sebelum ini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian dan bekas Exco kerajaan negeri.

Bagi jawatan Ketua Wanita bahagian itu, Datuk Azihani Ali bakal mempertahan jawatan ber­kenaan menentang Hashimah Hashim.

UMNO Bahagian Arau yang hampir 30 tahun diketuai Shahidan sudah pastinya akan berwajah baharu dengan bakal menampilkan barisan kepe­mimpinan baharu yang lebih segar selepas ini sekali gus keluar daripada ‘bayang-bayang’ Shahidan.

Datuk Rozabil Abd. Rahman dijangka menang tanpa bertan­ding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau selepas difahamkan sehingga pencalonan ditutup, tidak ada calon mencabar beliau dalam pemilihan itu.

Selain itu, turut difahamkan bagi jawatan ketua-ketua sayap parti di bahagian itu juga tidak ada pertandingan.

Selain Arau, Padang Besar tanpa Zahidi yang dipecat UMNO juga bakal diterajui ketua baharu dalam pertembungan dua penjuru antara Ruzaini Rais dan Khai­rul Akhbar Ahmad Zabidi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dijangka me­nyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan pe­nyandang, Azizan Sulaiman dan Nor Halmey Hamdah, Khirul Anu­ar Ahmad serta Noor Hairi Noor Mohammed.

Perkembangan dalam pemilihan UMNO di negeri ini akan menyaksikan hampir 100 peratus bahagian bakal berwajah baharu khususnya di Arau dan Padang Besar selain terdapat pertembungan merebut jawatan Ketua Bahagian daripada penyandang iaitu Azlan yang mengetuai Ka­ngar sejak 2014.

Pemilihan UMNO di Perlis dalam menentukan barisan kepemimpinan baharu di peringkat Bahagian juga dilihat sangat penting bagi mengembalikan semula maruah parti itu yang tewas 18-0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Fathul Bari sebelum ini berkata, hasrat menawarkan diri bertanding adalah sebagai menghormati demokrasi di dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan.

Selain itu katanya, jika diberi peluang mengetuai UMNO Bahagian Kangar, beliau juga mempunyai perancangan khusus dalam usaha mengembalikan semula kebangkitan parti itu yang tewas 18-0. Ia disifatkan paling buruk dalam sejarah parti itu di negeri ini.

“Kita mahu memastikan UMNO kembali bangkit dalam keadaan terhormat dan lebih kuat dalam mendepani PRU16 yang dilihat lebih mencabar,” katanya yang turut menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN