PUTRAJAYA: Kerajaan bakal mengumumkan perincian mengenai Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) pada minggu depan bagi menangani isu kesesakan di hospital awam ketika ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, beliau sendiri pun baru sahaja mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat hari ini dan belum ada lagi perincian.
“Pasukan ini bukan siasat kenapa berlaku kesesakan di hospital kerajaan tetapi kita akan baiki agar dapat dijadikan panduan untuk tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2023 di sini hari ini bersempena sambutan ulang tahun ke-27 penubuhan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 1 Mac lalu.
Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan penubuhan Star itu ketika menjawab sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dengan pasukan itu dipengerusikan Mohd. Zuki sendiri dengan cadangan penambahbaikan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kerjasama pintar dengan sektor swasta.
Terdapat 145 buah hospital awam dikendalikan Kementerian Kesihatan di seluruh negara dan isu kesesakan teruk kerana caj perkhidmatan bermutu ditawarkan hampir percuma.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Zuki turut menyifatkan Inisiatif Smart Putrajaya dilaksanakan Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak 2018 sejajar teras strategik Malaysia Madani yang menjadi asas Kerajaan Perpaduan.
“Inisiatif itu berdasarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya telah berjaya mencapai 70 peratus kejayaan pelaksanaannya pada hujung tahun lepas.
“Maka, amat bertepatan sekiranya saya menyatakan di sini bahawa Putrajaya hari ini adalah model kepada Malaysia Madani khusus dalam aspek perbandaran,” katanya. – UTUSAN