Perasaan Najib tidak boleh pengaruhi keputusan kami - Mahkamah

Perasaan Najib tidak boleh mempengaruhi keputusan kami – Mahkamah

KENDERAAN yang membawa Najib Razak beredar meninggalkan pekarangan mahkamah di Putrajaya selepas gagal mendapat kebenaran untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perasaan tidak puas hati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya tidak boleh dibiarkan untuk mempengaruhi penghakiman.

Ini kerana pandangan dan perasaannya terhadap keputusan mahkamah yang menolak pelbagai permohonannya dan rayuan akhirnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. adalah berat sebelah.

“Dalam afidavit sokongannya pemohon menyatakan “Saya telah dinafikan kebebasan asasi yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan rayuan yang adil dan merupakan pertimbangan prinsip perbicaraan yang adil.

“Pada pandangan kami, pemohon tidak bersikap objektif kerana beliau tidak boleh menerima bahawa mahkamah memutuskan permohonan dan rayuan yang tidak menyebelahinya melainkan terdapat bahaya berat sebelah, pelanggaran keadilan semula jadi dan penyalahgunaan proses.

“Walaupun perasaan yang ditunjukkan mungkin benar tetapi ia tidak boleh dibenarkan untuk mempengaruhi dapatan kami,” ujar Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Hakim tersebut berkata demikian ketika membacakan penghakiman majoriti 4-1 yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekal sabitan salah dan hukuman dihadapinya.

Turut menyokong penghakiman majoriti itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Bagaimanapun, menurut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang menentang penghakiman majoriti itu, seseorang tertuduh perlu merasakan bahawa beliau mendapat perbicaraan yang adil.

Menurut Hakim Abdul Rahman yang mengetuai panel hari ini, keterangan yang diberikan oleh Najib sebelum panel yang diketuai Hakim Tengku Maimun membuat keputusan di rayuan akhirnya jelas menunjukkan kekecewaannya.

“Seseorang tertuduh perlu merasakan dia mendapat perbicaraan yang adil, jika tidak dia (tertuduh) tidak boleh dibicarakan terus,”ujar hakim itu.

Pada prosiding rayuan akhir, Najib ketika membacakan kenyataannya dari kandang tertuduh memberitahu, beliau dapat merasakan peluangnya untuk menang dalam rayuan terhakis sejak dari mula dan ia bukan disebabkan ketiadaan merit tetapi kerana tidak diwakili peguam.

“Tiada pada mana-mana ketika, saya diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau ditanya mengenai keadaan yang membawa kita ke sini (rayuan akhir). 

“Dikatakan bahawa seseorang tertuduh adalah individu penting dalam sesuatu kes di mahkamah tetapi saya merasakan saya telah dilayan dengan tidak adil dan perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya,” kata Najib ketika membaca kenyataannya itu.

Pada 23 Ogos 2022, Hakim Tengku Maimun mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya