KOTA BHARU: Sepasang suami isteri yang merupakan anak Kelantan diperantauan teruja dapat pulang ke kampung halaman untuk berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama Ramadan.
Norfaizah Mahad, 32, berkata, dia dan suami Mohamad Hafiz Kamisan, 32, sanggup sanggup mengambil cuti bekerja selama empat hari semata-mata untuk menyambut Ramadan selepas tidak dapat berbuat demikian akibat serangan Covid-19 sebelum ini.
“Berbuka puasa di kampung dan bandar jauh bezanya. Di kampung suasanya lebih meriah dengan adanya keluarga, pada masa sama, pilihan pelbagai jenis makanan menambahkan lagi selera semasa berbuka.
“Saya dan suami bekerja di Johor Bharu, jadi bila kami dapat cuti bersama tahun ini kami terus rancang balik ke kampung dan sambut Ramadan di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di pintu balai ketibaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, Norfaizah dan suami Mohamad Hafiz antara penerima 1,000 bubur lambuk yang diagihkan Hotel Perdana Kota Bharu kepada penumpang yang tiba di LTSIP dan para petugas penerbangan.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana Kota Bharu, Mohd. Iqmal Muslim memberitahu, pembahagian bubur lambuk itu adalah kelainan yang dibuat pihaknya sebagai satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, bubur lambuk itu masak sendiri chef hotel sejak pagi tadi.-UTUSAN